Monday, February 11, 2008

Baik Mati Dalam Ketawa Dari Mati...

SUNGAI PETANI 10 Feb. Nasib 286 orang pekerja sebuah kilang plastik di sini yang diberhentikan tanpa notis mendapat perhatian Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin yang berjanji membawa kes mereka kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

Setelah mendengar aduan mereka, saya kecewa dengan sikap pengurusan kilang yang mengabaikan hak pekerja yang sebahagian daripada mereka telah bekerja lebih 10 tahun, kata Zainuddin-Utusan Malaysia .

Jika baca berita yang tersiar itu, tidak ada apa-apa yang menarik kerana cerita atau kisah kilang-kilang yang membuang pekerja sudah menjadi berita biasa semenjak kebelakangan ini. Dan kebiasaannya terserah kepada pekerja itu berjuang secara sendirian atau melalui kesatuan sekerjanya, jika ada yang masuk menjadi ahli kesatuan sekerja.

Tetapi yang menarik itu dua perkara yang berlaku. Satu ialah kerana dalam masa pentadbiran Kerajaan Tiga Beranak menyanyikan lagu bahawa pelaburan Malaysia mencurah datang dan peluang pekerjaan akan wujud sama ada sebelum dan sesudah projek pembangunan Koridor Utara dilaksanakan, soalan kenapa pula kilang itu tutup dan gulung tikar? Dan keduanya kenapa Zainuddin Maidin dengan tiba-tiba menjadi pembela kaum pekerja yang tertindas? Walhal sama ada dalam Parlimennya di Merbok atau Sungai Petani dan Gurun yang terletak dalam Parlimen Yan, hari-hari ada orang kena buang kerja atau kilang ditutup sebelumnya ini, kenapa tak diperjuangkan?

Maka pemimpin politik yang terdiri ahli Parlimen atau DUN sebenarnya bekerja untuk bermusim yang selalu dipanggil “seasonal politician” atau ahli politik bermusim. Kerana PRU sudah sangat menjengah hari, maka bermulalah orang-orang politik menjengah muka.

Malaysia sudah bertahun, semenjak mula merdeka sehingga sekarang. Setiap kali PRU mendatang, mereka akan memilih UMNO/Barisan Nasional untuk menjadi pemerintah di Kerajaan Pusat. Para pengundi yang memilih UMNO/Barisan Nasional tidak pernah terasa bahawa mereka sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka mungkin bangga setiap kali Perdana Menteri meletakan jawatan atau meninggal dunia, akan ada Perdana Menteri baru, masa itu Perdana Menteri baru itu mendapat mandat besar seperti PRU 2004.

Perhatikan waktu Tun Razak Hussein dalam PRU 1974 dengan gagasan Barisan Nasionalnya dan kemudian Tun Hussein Onn pada tahun PRU 1978 selepas kematian Tun Razak Hussein walau pun ada isu dalam masyarakat Melayu antaranya isu Dato Harun Idris yang ditangkap tuduhan rasuah dan keluarnya PAS dari Barisan Nasional, Barisan Nasional tetap menang besar dan seterusnya PRU 1982 yang diambil alih oleh Tun Dr Mahathir Mohamed.

Dan yang terbaharu ialah empat tahun dahulu, dalam keghairahan orang-orang Melayu mendapat seorang Perdana Menteri yang diberi jolokkan “Mr Clean” sokongan padu diberikan kepadanya termasuk orang-orang Melayu di Terengganu yang sebelumnya pada PRU 1999 memberikan sokongan kepada Pembangkang untuk memerintah Terengganu. Kononnya selepas Tun Dr Mahathir Mohamed berhenti, maka berakhir zaman-zaman yang dipanggil sebagai Maha firaun, Diktator dan berbagai gelaran lain.

Apa yang terjadi hari ini. Berakhir kah zaman “Firaun” dengan Hamam nya, atau adakah tamat sikap diktator Perdana Menterinya. Jawapan nya tidak? Kenapa tidak? Jawapan seterusnya ialah kesemuanya rakyat/pemilih hanya sekadar menukar pemimpin tetapi tidak menukar sistem. kerana bila Firaun baru dilahirkan akan ada Hamam baru yang mendampingi firaun itu.

Hari ini perjuangan parti pembangkang mestilah menjurus kepada merubah sistem dan antara sistem yang hendak di ubah di mana? Jika sekadar untuk membasmi rasuah, itu bukan mengubah sistem, itu adalah rutin bekerja, kalau hendak membuat lebih baik dari UMNO/Barisan Nasional dalam menghapuskan kroni, itu juga bukan merubah sistem.

Sistem yang patut di ubah ialah menukar segalanya. Pegangan ideologi mestilah berlawan dengan UMNO/Barisan Nasional yang merupakan mengangkat sistem Kapitalis Terbuka yang mengamalkan konsep kapital atau modal sebagai penguasaan kuasa. Itulah yang terjadi sekarang dalam badan UMNO yang mengamalkan tiada wang akan tiada kuasa dan akan tiada kuasa jika tiada ada jawatan dan jika ada jawatan maka akan dengan sendiri akan ada wang.

Maka berlaku dalam PRU dahulu, hari ini dan akan datang bahawa dengan orang-orang Melayu yang tidak ada wang, maka boleh dibeli dengan wang sekurang-kurang Ketua UMNO Cawangan diberikan beberapa projek, jika di bandar dengan Kontraktor Kelas F dan jika di luar Bandar dengan projek JKKK nya. Dan begitu seterusnya Ketua UMNO Bahagian, setelah mencurahkan wang, maka memerlukan jawatan pula sekurangnya menjadi wakil rakyat dan tidak berguna menjadi wakil rakyat kerana tidak punya kuasa yang baik maka bercadang menjadi Menteri, Timbalan Menteri, dan sebagainya dan peringkat negeri sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) kerana dengan jawatan maka mempunyai kuasa maka datanglah wang.

Itu sebab berbagai penilaian menjadi calon mengikut cara-cara yang berlainan dan jika mengikut “Saya Perdana Menteri” bahawa dia akan mengukur apa kata repot kad yang dibuat sendiri oleh wakil-wakil rakyat itu.

Sebenarnya isu terlalu mudah. Para rakyat/pemilih kena mengambil cara yang dilakukan di Australia. Bila mana para pengundi hendak memilih wakil rakyatnya, maka diketahui bahawa calon itu hanya tinggal di rumah “terrace” dua tingkat dan jika dia menang pada masa PRU akan datang jika berpindah ke rumah lain dengan sendirinya para pengundi itu tidak memilih calon itu kerana sudah tentu dia telah memperalatkan kedudukan dia untuk menjadi kaya kecuali dia mengisytiharkan secara terbuka bagaimana datangnya wang dia dengan tiba-tiba berpindah ke rumah yang lebih besar dari “terrace” ke banglo.

Tetapi di Malaysia banyak terdapat wakil rakyat, semasa dipilih menjadi wakil rakyat duduk di rumah yang agak sederhana tetapi setelah sepenggal menjadi wakil rakyat dengan sendiri bertukar bentuk cara hidupnya. Dan golongan ini juga yang dipilih rakyat.

Muktamadnya apa yang berlaku sekarang, segala rasuah, kroni dan penyelewengan yang berlaku dalam Kerajaan Tiga Beranak sebenarnya dibenarkan dan disokong oleh rakyat/pemilih yang berketurunan Melayu kerana semua orang arif bahawa rakyat/pemilih keturunan lain tidak bersetuju dengan sistem ini. Itu sebab rakyat/pemilih keturunan India sudah nekad tidak memberi sokongan kepada Barisan Nasional khasnya kepada MIC kerana sudah mula sedar yang patutnya bertanggung jawab kemunduran orang India ialah mereka sendiri kerana setiap kali PRU mereka menyokong Barisan Nasional tetapi pemimpin mereka memperkayakan dirinya dan mereka hanya sekadar alat kepada pemimpinnya.

Kesimpulannya PRU yang akan datang, jika UMNO membakar semangat orang Melayu dengan kemundurannya dan mesti menyokong UMNO bagi mengelakkan orang Melayu berterusan miskin walau sudah 50 tahun dalam Kerajaan Dominan UMNO dan orang Melayu/pengundi memberikan undi kepada Barisan Nasional bererti orang-orang Melayu samalah menyiapkan keranda dan menggali kuburnya sendiri untuk ditanam hidup-hidup oleh UMNO yang berpegang kepada prinsip sistem kapital ini. Sebab itu agaknya rakyat/pengundi keturunan Kadazan di Sabah mengeluarkan slogan Lebih Baik Mati Dalam Ketawa Dari Mati Dalam Menangis. Untuk kaumnya berfikir menjelang PRU ini.

Sang Kelembai: Sistem Kapital atau sistem modal yang bergantung kepada wang ini sewajarnya ditolak dan itu sebab keterlanjuran UMNO untuk menghapuskan kemiskinan di tahun 2015 menjadi satu perdebatan kerana jika UMNO berjaya menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu/Islam adakah Imam Besar Islam Hadhari -ada had dan hari akan menjadikan rukun Islam sekadar empat perkara sahaja di Malaysia kerana dalam soal membayar zakat termasuk fitrah Ramadhan sudah tidak perlu lagi kerana orang Melayu/Islam sudah mencukupi. Apa kata mufti Perlis?

4 comments:

zainal abidin awang kechik said...

Al-Hajj


(51) Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Anonymous said...

Saya lihat tulisan SK kian hari kian tajam dan mempunyai nilai akedemik!! Memang betul, masalah buruh ini sering timbul dan dapat diselsai kan sendiri oleh kaum buruh tanpa campurtangan menteri!!! Biasalah apa menjelang PRU, masing2 nak tunjuk kerelevanan mereka apatah lagi mamak bedukang ni!!!

Anonymous said...

sdr sk,
diharap orang orang melayu dan rakyat malaysia umumnya sudah faham tentang hak mereka. Tulisan sdr memang sungguh menyedarkan betapa kekayaan YB secara tiba-tiba bila sudah 6 bulan menjadi wakil rakyat.mereka dengan mudah mendapat tanah, membina rumah mewah, merampas tanah rakyat, tidak mematuhi undang2 PBT , mendapat lesen, tender, projek dsbnya. Bila rakyat mengadu minta itu dan ini, hanya sekeping surat yang tak berharga di berikan sebagai sokongan. Inilah kerja mereka selama ini sebagai melepas batuk ditangga. Bila pilihan raya tiba, mereka sanggup berhujan berpanas menyinsing seluar konon nya nak membela rakyat. Pembelaan rakyat bukan bermusim tetapi hendaklah berterusan kerana mereka memang di pilih untuk bekerja untuk rakyat. Malangnya diMalaysia tidak seperti di Australia. Di Indonesia, wakil rakyatnya tinggal rumah papan. Malahan Wakil Presiden RI Jusop Kalla tinggal dirumah teres berkembar dua. Wakil Rakyat di Selangor macam mana? Ketua Pemuda Bahagian tinggalnya dimana? Marilah kita renungkan tulisan sdr SK. Memang ada benarnya.

Lamps said...

saya bersetuju dengan pendapat saudara. masalah di malaysia pd msa skrang adalah rakyat kita yg cpat berpuas hati dengan apa yg ada. rakyat sebenarnya msh tdk mengetahui apa hak mereka, sedangkan kita hidup di negara demokrasi yg mana rakyat berhak bersuara.
saya juga bersetuju bahawa org kampung memang merupakan pengundi tetap umno kerana mereka rasa mereka telah mengalami perubahan taraf hidup

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia