Wednesday, May 02, 2007

Doktrin Ideologi Yang Tiada


Pilihan raya Kecil-PRK selepas Pilihan raya Umum 2004-PRU kini sudah berakhir. Kesemua lima PRK berlaku di kawasan Dewan Negeri sahaja dan tidak ada satu pun PRK bagi kawasan Parlimen. Dari lima PRK, empat melibatkan Dewan Undangan Negeri - DUN milik Barisan Nasional dan satu milik Parti Islam Se Malaysia-PAS dan kesemuanya di menangi oleh Barisan Nasional.

PRK Ijok, Selangor melihat satu kemuncak PRK yang terhebat selepas PRU 2004. PRK Ijok berkesudahan dengan Parti Keadilan Rakyat - PKR menghadapi kekalahan dengan kekurangan 1850 undi.Berbagai andaian yang dibuat mengenai kekalahan PKR di Ijok dan akhirnya yang menjadi kambing hitamnya ialah Suruhanjaya Pilihan raya-SPR. Sekiranya dilihat komposisi pengundi di kawasan tersebut, calon PKR akan menang mudah sekiranya semua pengundi Melayu memberikan sokongan kepada PKR yang calonnya orang Melayu.

Maka bertanyalah ahli fikir dan penganalisis politik (bukan analisis politik yang ditulis oleh web pro Barisan Nasional) yang mana kedua pihak yang bertanding di PRK Ijok dianggap seperti keliru. Cara jentera dan cara bekerja Barisan Nasional adalah seperti kawasan DUN itu dahulunya berada di kerusi pembangkang. Berbagai pengumuman projek pembangunan dibuat dan yang ketara ialah dengan serta merta jalan-jalan seluruh DUN Ijok di “tar” kan , sehingga tidak mengikut spesifikasi kejuruteraan, yang mana jalan yang sepatutnya jalan-jalan lama dibongkar dahulu sebelum diturap tetapi sebaliknya tindakan menurap atas jalan lama memungkinkan jalan-jalan itu akan rosak semula untuk beberapa bulan yang akan datang.

Dipihak PKR pula, cara bertanding di DUN Ijok seperti PRU akan dapat menubuhkan kerajaan tetapi tidak fokus kepada untuk menjadi pembangkang dalam DUN Selangor yang tidak diwakili seorang pun pembangkang Melayu. Anehnya sebagai parti pelbagai kaum, isu-isu yang dibawa tidak membabitkan isu-isu tempatan dan juga kepentingan penduduk Ijok, sebagai contoh jalan yang diturap itu membuktikan di depan mata bahawa Barisan Nasional tidak berbuat apa-apa jika ada kerosakan jalan di DUN Ijok sebelum ini, dan kalau PKR rajin sedikit, dia mengambil contoh kawasan DUN lain di Kuala Selangor seperti Jeram, jalan-jalan yang tidak diturap walau pun dikuasai oleh Barisan Nasional atau yang paling senang untuk membuktikan adalah dengan pergi sendiri ke Jalan Ijok-Batu Arang, yang mana jalan diturap dalam DUN Ijok tetapi jalan yang bersempadan DUN Rawang yang diwakili Barisan Nasional terus kekal dengan berlubang dan berlopak.

Maknanya kesemua wakil BN dalam DUN di Selangor, sama seperti Abdullah Hj Ahmad ia itu tidur dan tidur selagi tidak terjaga. Disebabkan Malaysia hanya banyak pak turut politik dan bukannya pengamal politik, sama seperti peguam, banyak peguam tetapi tidak banyak pengamal guaman yang mana seorang peguam mesti pergi ke Mahkamah, begitu jugalah pengamal politik yang ada. Mereka perlu melibatkan diri dalam amalan politik dan jika seseorang itu memegang jawatan, dia diperlukan memahami perlembagaan partinya dan terpenting dia mesti seorang yang tahu sejarah negaranya, kerana itu unsur bagi dirinya membuat analisa kalau tidak tepat tetapi boleh hampir tepat.

Bila PKR berkempen, semua orang macam tak perasaan dan tidak terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Parti Keadilan Rakyat - PKR yang dahulunya Parti Keadilan Nasional – PKN. Bukankah parti itu sudah bercantum dengan Parti Sosialis Rakyat yang dahulu nama asalnya Parti Sosialis Rakyat Malaya dan bendera PKN pun sudah berubah, yang mana ada jalur merah di kiri kanan dalam bendera PKR. Soalnya kemana perginya orang-orang sosialis dalam PKR seperti Timbalannya sendiri, Syed Husin Ali, dan tokoh-tokoh sosialis seperti Sanusi Osman, Mohiddeen dan Dzulkefli Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu? Kenapa mereka ini tidak nampak di PRK Ijok? Adakah ini kerana Khalid Ibrahim, adalah seorang pendukung sistem kapitalis pada suatu masa dulu faham perkara ini.

Itu sebab isu-isu yang dibawa oleh PKR tidak berapa banyak mendapat sambutan di kalangan generasi muda yang membaca dan ada pelajaran. Mereka keliru, di peringkat awal, sudah ada kesilapan cara berkempen dan perang psikologi. Di hari penamaan calon, sasaran PKR kepada Najib Tun Razak, wa hal dia bukan seorang yang penting, dia hanya seorang pesuruh. Kenapa tidak diarak atau diedarkan akan kisah rumah di Perth, perayu layar yang mewah, atau berbagai isu Abdullah Hj Ahmad yang timbul semenjak tiga tahun kebelakangan ini khususnya kenaikan harga, seperti tol, minyak dan air?

Sewajarnya penyokong PKR waktu penamaan calon dan membuang undi bukan menjerit, altantuya!!! altuntuya!!! altantuya!!! sebaliknya ialah Tidur!!! Tidur!! Tidur!! atau kalau Khairy Jamalludin ada dihadapan, jeritan sepatutnya antara dua.. sama ada Ecm Libra atau Scomi. Tetapi semua itu tidak ada. PKR terus menjerit hal yang tiada sangkut paut di PRK Ijok Sebenarnya Najib Tun Razak sendiri sudah membantu PKR dengan menyatakan bahawa isu itu tidak relevan di PRK Ijok yang mungkin Najib Tun Razak secara satiranya mengatakan "daripada kamu balun saya, lebih baik kamu balun dedahkan isu Abdullah Hj Ahmad" yang lebih banyak dari isu Najib Tun Razak sendiri.

Kekalahan PKR bukan tidak ada sokongan, sebaliknya banyak perkara yang perlu dibedah siasat (post mortem) seperti mana yang semua maklum bahawa sebelum membuang undi, kekuatan PKR dalam kedudukan 40% dari keseluruhan undi yang ada dalam kawasan yang mempunyai pengundi 12 ribu tersebut, yang mana BN mempunyai lebih kurang 3.5 ribu orang atau 30% tetapi ada 3 ribu orang lagi yang menjadi pengundi luar, tak mahu keluar mengundi serta pengundi tidak dapat dikesan tetapi kesemua mereka ini jika mengundi akan mengundi BN..

Akhirnya BN pergi kepada tindakan "zero inn" mencari 3 ribu orang tersebut, sebenarnya angka itu sudah disebut oleh Najib Tun Razak bahawa terdapat 2 ribu pengundi yang digesa balik mengundi, tetapi malangnya PKR tidak dapat memahami kenyataan itu. Keputusan PRK Ijok, Selangor yang berpihak kepada BN adalah semata-mata disebabkan PKR tidak mempunyai sebarang ideologi perbezaan dengan BN.

Kepada pengundi di Ijok, soal rasuah memanglah satu perkara yang ditolak oleh mereka tetapi bila orang yang membangkitkan itu ialah Anwar Ibrahim, memaksa mereka berfikir semula. Di kalangan ahli UMNO, mereka masih ingat bagaimana Anwar Ibrahim menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan merasuah Ketua-Ketua UMNO seluruh negara bukan sahaja dengan saham-saham percuma macam TNB, Telekom dan Hicom tetapi juga wang ringgit yang berjuta jumlahnya.

Tanyalah dengan setiap orang yang ada jawatan masa pemilihan 1993 terutama orang UMNO di Sabah yang memaksa Tun Ghafar Baba meletakan jawatan. Boleh Anwar Ibrahim pergi bersumpah ke Masjid mana-mana dalam negara ini yang dia tidak menggunakan wang bagi jawatan Timbalan Presiden? Memanglah diakui bahawa BN sebuah parti mengamalkan konsep mempertahankan sistem kapitalis melalui parti induknya UMNO dan setelah UMNO ditolak dalam PRU 1969, Tun Razak Hussein secara tak ternampak melaksanakan sistem sosialis dalam dasar-dasarnya yang dinamakan dengan kulit Dasar Ekonomi Baru.

Perhatikan secara teliti, adakah dasar-dasar yang wujud itu kelihatan seperti bentuk -bentuk perjuangan sosialis antaranya pemilikan negara oleh syarikat asing, pemberian tanah kepada rakyat yang tidak bertanah. Tetapi orang Melayu tertipu atas propaganda yang menyatakan bahawa Dasar Ekonomi Baru ialah 30% kepentingan ekonomi bumiputera. Sebenarnya soal 30% bukan soal DEB tetapi adalah soal Perlembagaan 1957. Dan perlembagaan itu tertulis dan dipersetujui pada tahun 1956 menjelang tahun 1957-Tahun Malaya Merdeka. Dengan itu 30% DEB untuk Melayu/Bumiputra tidak kena mengena langsung dengan dasar itu. Bila Anwar Ibrahim menyuarakan untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru, persoalan yang mana dalam dasar dalam DEB tersebut mahu dihapuskan.

Di sinilah Anwar Ibrahim tidak bijak. UMNO tidak sejauh mana kekuatannya dan ini disahkan dalan dokumentari pendek yang diterbitkan sendiri oleh RTM yang bertajuk "evolusi dan revolusi". Evolusi dalam dokumentari itu secara nyata bermaksud membesar kerana alam, pokok tumbuh kerana ada benih sama ada yang di berakkan oleh binatang yang memakan benih, ranting yang patah dan benih itu membesar, putaran hujan yang membawa air, panas yang dibawa oleh matahari dan kebetulan tanahnya subur, maka membesarlah pokok itu tetapi itu sekadar pokok tetapi tidak pokok yang di organik. Dia membesar dengan baja dan kawalan penyakit, dan sudah pasti akan menghasilkan pokok yang terbaik nilainya.

Itu sebabnya negara ini masih belum boleh maju kerana bukan sahaja politiknya perlu evolusi tetapi pemimpinnya juga perlu evolusi seperti Abdullah Hj Ahmad yang jadi Perdana Menteri kerana dia terlebih dahulu patut menjadi Timbalan Perdana Menteri. Telah tiba masanya, untuk PKR kalau mahu menjadi parti politik alternatif untuk pentadbiran negara supaya meletakan satu doktrin perjuangan dalam ideologi politik kontemporari, jika takut itu bermakna banyak penyakit kepada diri dan jika perjuangan mirip sosialis kini menjadi ideologi kenapa "kami difahamkan" rumah Anwar Ibrahim yang berharga RM 2 juta di Damansara kini sudah berpindah ke rumah bernilai RM7 juta di Segambut, ini bukan orang sosialis.

Maka dicadangkan supaya PKR dan DAP membuat satu pendirian politik yang agak boleh diterima oleh rakyat untuk melaksanakan paradoks demokrasi moden dalam perspektif Postmarxis-Postmodern dalam Demokrasi Radikal untuk melawan Demokrasi Liberal yang didukung oleh Barisan Nasional, yang mana dalam Demokrasi Liberal telah menyaksikan kegagalan beberapa buah negara dan sesetengah negara yang pernah merobohkan sistem sosialis ,mahu pun komunis yang bertukar ke sistem demokrasi liberal sedang bermimpikan sistem yang lama. Senang-senang pemikir PKR bacalah idea yang dibawa oleh Ernesto Laclau dan Chantal Mouffe .

Sang Kelembai: Semua pemerhati politik yang berminat, bertanya kepada semua orang yang boleh menjawab satu soalan ia itu: Kenapa Anwar Ibrahim tidak hendak membangkitkan isu Abdullah Hj Ahmad dan juga Khairy Jamalludin. Apakah permainan atau sandiwara mereka. Apakah maksud yang tersirat dalam Evolusi dan Revolusi. Keduanya Abdullah Hj Ahmad dan Anwar Ibrahim rakan baik dengan G. Bush dan L.K.Yew. kenapa Anwar Ibrahim sanggup menerima sebagai pelakon video klip itu?

12 comments:

Anonymous said...

PKR itu sendiri terdiri dari org-org umno yg kecewa kerana bos nya dipecat, saya pun tak tahu apa perbezaan PKR dengan UMNO. Apa yg diperjuangkan PKR

Anonymous said...

ouch ... isy, you ni, sakit ler ... apa sebut2 rumah 7 juta ni. itu rumah menantu saya :-))

ideas incredible said...

"kami difahamkan" rumah Anwar Ibrahim yang berharga RM 2 juta di Damansara kini sudah berpindah ke rumah bernilai RM7 juta di Segambut, ini bukan orang sosialis

anwar ibrahim adalah "socialistic reformist". jadi dalam "reformed socialism", sama dengan capitalism la. ;)
tapi fikir lagi, mungkinkah datuk seri tu lebih macam "sociable reform artiste"?

arifabdull said...

::Special msg to youngsters who cares::


.....THE REVOLUTION WILL NOT BE TELEVISED

(a true story film about Venezuela Revolution)


Doktrin ideologi yang tiada
.....

arifabdull said...

[Surat terbuka untuk Encik Anwar Ibrahim]

....Merujuk tulisan bertajuk "Doktrin Ideologi Yang Tiada" oleh saudara Zaharin Mohd Yasin maka saya terpanggil mencoret pandangan dalam surat ini. Saya bersetuju dengan pandangan saudara Zaharin bahawa PKR perlukan doktrin politik yang jelas jika mahu menjadi parti alternatif yang kuat....

xenza said...

Sang Kelembai,

Banglo DSAI di Bukit Damansara - yang jauh lebih simpel berbanding mahligai Syed Hamid Albar, Annuar Musa dan Rafidah Aziz - dijual dengan harga RM5 juta pada 2006. Rumahnya di Segambut dibeli dengan harga yang sama.

Sesiapa sahaja yang faham hartanah akan tahu nilaian banglo Bukit Damansaranya. Jadi saya agak musykil dengan apa yang difahami En. Sang Kelembai.

Anonymous said...

Aku tak tahu sangat pasal politik...tapi aku setuju bahawa perjuangan dan objektif PKR ni masih samar-samar. Kalau sekadar nak menyerang peribadi pemimpin UMNO, kena jugak fikir bahawa diri tu bersih dari rasuah atau penyelewengan atau skandal. Barulah orang percaya dan nampak dengan jelas perjuangan PKR. Dan satu lagi, kalau PKR nak menang pilihanraya umum nanti, mestilah ada alternatif utk jawatan PM dan TPM yang membawa dan memperjuangkan parti politik mereka. Betul tak?

Anonymous said...

nak entry pasal minyak masak plak pak..!! dah seminggu saya cari minyak masak x jumpa2 ni..

Berita dari gunung said...

Menyebut PKR, maka tidak sah jika kita tak sebut nama Anwar Ibrahim. Beliau adalah ikon, hinggakan dirasakan perlu dan menasabah memilih lambang berbentuk mata untuk diabadikan.

Hingga sekarang saya masih tidak lupa mata beliau yang lebam suatu masa dulu. Cerita-cerita orang, kononnya mata beliau jadi lebam sebab kena hentam, tapi tidak sampai makan param. Tapi saya tak tahu sangat beliau secara peribadi.

Kita jangan lupa bahawa Anwar pernah menewaskan ramai saingannya. Kemuncaknya ialah ketika Tun Ghafar ditewaskan. Tun tewas dan dimalukan semau-maunya tanpa sekatan. Saya tak tahu siapa yang menyepak Rahim Chik keluar. Saya sekadar menjemput nostalgia, rentetan peristiwa dalam media. Rahim menerima lebih dari malu.

Dari kacamata saya, kemenangan Anwar bersalut dengan rasa malu yang tebal di pihak yang kalah. Mungkin rasa malu itu bukan dirangka sedemikian rupa, sekadar after effect yang tak disengajakan. Saya melihat Anwar selesa untuk menang in style!

Harus kita ingat dalam siri penaklukan Anwar, beliau belum pernah walau sekali menumbangkan orang nombor satu. Sekadar melebarkan pandangan, saya berpendapat beliau tidak sanggup dan tidak berupaya menewaskan orang nombor satu. Beliau sedia maklum tentang singa tua yang kukunya kekal tersembunyi!

Oleh yang demikian, memilih orang nombor dua sebagai punching bag, adalah alternatif yang wajar. Najiblah yang disiku. Saya tidak sempat menyemak samada Anwar atau PKR memang diminta untuk berbuat demikian oleh sesiapa. Saya tidak tahu.

Tapi dalam dunia sementara ini, memang kita tahu banyak rundingan, pakatan sulit yang disebut dalam bisik, disebalik tabir dan dalam kelambu.

(sedikit sumbangan yang termampu, dari kacamata seorang yang memahami erti malu bila terlupa tarik zip seluar waktu keluar dari tandas, dan jika tuala terlucut/terlondeh dalam langkah-langkah cemas menerpa ke tandas)

Anonymous said...

Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai Anwar, tuan sang kelembai boleh baca di sini:

http://www.thenation.com/blogs/capitalgames?pid=192571

Mungkin boleh buat analisis yang menarik.

Anonymous said...

Selepas prk ijok, kita sama2 tunggu pru yg rasanya akan menjengah beberapa purnama je lagi.
Sy tpanggil utk mengetengahkan permasalahan negara walau sy tiada pengalaman sedalam laut dan setinggi langit.
Sy ttarik dgn ungkapan "KEMAJUAN UNTUK RAKYAT" yg sering dilaung-laungkan oleh parti pemerintah sekian lama tak kira di mana.
Ada beberapa persoalan yg sangat besar yang perlu diperhalusi oleh kita semua iaitu apakah benar kemajuan itu untuk rakyat? Apakah itu yg rakyat Malaysia inginkan selama ini? Pada sy, sebagai rakyat Malaysia, yg jelas kelihatan ialah kemajuan dan pembangunan sekarang ini adalah bukan untuk rakyat!! Tapi ia adalah utk pemimpin yang ada sekarang!
Apa yang rakyat perlukan adalah PEMANTAUAN & PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG yang mana dilihat sangat lemah dan tidak bermaya. Segala kelemahan pentadbiran adalah berpunca daripada KEKURANGAN KAKITANGAN di segenap kementerian. Tetapi apa yg pemimpin sekarang lakukan ialah "Menambah banggunan". Hutan diceroboh, sempadan negara bolos, jenayah meningkat, peniaga mengaut untung beratus-ratus peratus kaliganda, perkhidmatan merosot, penipuan kepada di mana-mana dan banyak lagi kerosakan adalah berpunca daripada kekurangan kakitangan tetapi apa yang pemimpin sekarang lakukan untuk mengatasi masalai itu hanya dengan "TAMBAH BANGGUNAN DAN KELENGKAPAN".
Kenapa begitu? kerana melalui PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN pemimpin sekarang dapat keuntung metirial. Dapat percent dan dapat tender. Tetapi sekiranya kakitangan ditambah maka wang kerajaan akan berpindah kepada rakyat dan pemimpin hanya dapat melihat wang itu pergi tanpa mampu mdapat keuntungan. Inilah realiti kualiti dan mentaliti pemimpin melayu yang ada sekarang. Jual rakyat dan negara untuk kepentingan peribadi dan keluarga serta kroni.
Tp ingat.... suatu masa nanti bila bangsa merana, merempat, hilang maruah dan tergadai, jangan lupa siapa penyumbangnya dan siapa pengundi yang menyokongnya tanpa menggunakan akal yang bebas dan bijaksana. Lihat diri kita masing-masing, adakah kita dakwa diri kita bebas sekiranya untuk kata yang "salah sebagai salahpun" masih tidak mampu malah terpaksa mengatakan yang "salah itu betul" untuk menjaga kedudukan, ego, hati pemimpin dan periuk nasi(konon).
Sedarlah... kita hanya menjahanamkan agama,bangsa,maruah serta negara sendiri dengan bersikap demikian.
Ungkapan "Dulu, Kini dan selamanya" adalah lebih sesuai untuk ketaatan pada agama dan bukan untuk parti! Keluar parti masih tak murtad tapi kalau keluar agama? Keranamu Malaysia itu salah!! kita buat sesuatu adalah kerana ALLAH. Pemimpin Melayu sekarang jual Melayu dengan bertopengkan perjuangan pemimpin dan ulama melayu terdahulu. Lihatlah masyarakat melayu disekitar anda... lelaki dan perempuan sudah nipis pegangan agamanya... mampu berbogel dimana-mana, lihat peniaga-peniaganya... bukan berniaga tapi nak duit semata-mata. Barang dagangan hanya sebagai syarat untuk mengaut untung berganda-ganda... Lihat pemimpin-pemimpinya.... yg dinafikan itu adalah kebenarannya. Lihat majoriti rakyatnya.... sentiasa diperbodohkan dan diperas oleh pemerintahnya. Lihat pilihanrayanya..... Mandat haram senjata utamanya untuk menncengkam kuasa untuk terus melingkupkan negara. Lihat promosi agamanya.... Islam Hadhari tu apa? Sekiranya Islam Hadhari tu adalah cabang agama yang benar-benar diterima Allah..... sy amat bersimpati dengan mereka yang telah meninggal sebelum menganut agama ini. Tapi sekiranya bawaan ini SALAH dimana kredibiliti JAKIM dan Ulama-ulama yang ada dalam memperbetulkan semua itu kepada masyarakat tempatan dan dunia dan tidak sesatkah seseorang apabila memberikan nama baru kepada agama Islam?

Pak Zahrin!! Apa pendirian anda?

wasalam...

Anonymous said...

Untuk rehatkan minda para ahli kebenaran...
"Kesan-kesan kepincangan politik silam masih ditahap yang boleh ditanggung oleh rakyat. Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat masih dapat ditutup oleh BN dengan agenda ekonomi untuk rakyat katanya. Lumrah alam gunung berapi satu hari akan meletus juga bila dah tak tertahan tekanan."

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia