Tuesday, December 18, 2007

Peguam Negara vs Polis

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) --
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kesemua 31 tertuduh didakwa di mahkamah kerana mereka terlibat dalam perhimpunan haram dan mereka bukannya pengikut kumpulan pelampau Hindu Rights Action Force (Hindraf). Beliau berkata pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka itu adalah mengikut peruntukan undang-undang.

"Kesemua 31 individu itu menulis surat (kepada saya) mengutuk tindakan Hindraf dan mendakwa bahawa mereka bukan ahli Hindraf. Mereka juga berjanji untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram di masa depan."Tindakan menarik balik pertuduhan itu (cubaan membunuh pegawai polis) juga adalah adil kerana pendakwaan tidak dapat mengenal pasti siapa yang membaling batu sehingga mengenai mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Sesyen di sini hari ini.Pada prosiding hari ini, Hakim Nursinah Adzmi melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh.

Kenyataan Peguam Negara itu seperti mana di atas, adalah satu “keanehan” dalam tugas Polis yang baru sahaja meraikan 200 tahun keberadaan di Malaysia. Semua orang tahu dan faham tugas Polis. Hari ini Polis kena menerima hakikat, jika dia menangkap penjenayah, perusuh atau yang melanggar undang-undang tetapi nanti Polis harus juga di masa depan merelakan orang yang ditangkap itu untuk menjadi tidak bersalah dan mungkin juga bebas.

Peristiwa itu sebagai satu pengajaran kepada Polis dan anggotanya. Cogan kata atau ayat berbisa Hang Tuah yang selalu digunakan ialah “Tak Melayu Hilang Di dunia” tetapi jarang hendak menggunakan ayat yang sebenarnya berbisa dari Hang Tuah ia itu: “Berbuat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali” dan sekarang dengan niat mempertahan status quo, polis yang menguatkuasakan undang-undang sudah dimalukan.


Sebagai anggota Polis, setiap anggota memegang doktrin “tiada hukuman tanpa kesalahan” Dalam hukum atau undang-undang jenayah, bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah sebelum datang keputusan hakim. Dan semua orang tahu, tidak ada seorang pun yang melakukan jenayah akan datang dengan sendirinya untuk minta diadili.

Maka undang-undang jenayah atau apa pun undang-undang penguat kuasa akan menjadi kenyataan, apabila ada agensi yang melakukan penguat kuasa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Maka atas sebab kerana tidak akan ada orang menyerah dirinya untuk diproses melalui sistem keadilan yang ada, maka Polislah sebahagian agensi yang berkesan untuk menahan dan membuat siasatan dan seterusnya mendakwa pesalah atau pelanggar undang-undang.

Sekian lama, rakyat atau orang ramai memerhatikan bahawa Polis seperti tidak ada masalah dalam tugasnya kerana sudah disediakan beberapa undang-undang yang sesuai untuk Polis dalam melaksanakan tugasnya tetapi dengan pelepasan 31 orang perusuh itu barulah disedari yang sebenarnya Polis mempunyai masalah tersendiri dalam melaksanakan undang-undang yang diserahkan kepadanya untuk dilaksanakan penguatkuasaan.

Sekian lama, Polis di mana sahaja khasnya di Malaysia, ada masanya atau selalunya dilihat seperti bertindak dengan mempunyai kuasa-kuasa seperti pendakwa raya dan hakim secara serentak kepada warganegara atau orang yang ditangkap atau ditahan. Lihat sahaja penangkapan beberapa orang yang dikatakan berhimpun di hadapan Parlimen, penangkapan Tian Chua yang hanya ada berada dalam kereta dalam satu jalan awam ke arah Parlimen, ditahan ditangkap seperti sudah melakukan kesalahan, walhal maksud perintah Mahkamah itu ialah melarang dia berhimpun dan berada di kawasan itu dengan niat untuk menunjuk perasaan. Tetapi Polis sudah menjadi pendakwa raya.


Begitu juga penangkapan Mustapha Ali di pintu masuk Parlimen sedang dia tidak berhimpun di dalam kawasan Parlimen, sebaliknya dia masuk ke bangunan Parlimen sebagai tetamu Ahli Parlimen dan membuat kenyataan yang biasa-biasa yang tidak menyalahi undang-undang. Di sini orang yang faham akan ketawa melihat perangai Polis dan peraturan keselamatan bangunan Parlimen, kerana soal keselamatan dalam kawasan Parlimen terletak kepada Pengawai Keselamatan Bangunan Parlimen dan seperti biasa pas masuk sudah dikeluarkan oleh Pegawai Keselamatan Parlimen, maknanya dia sudah di izinkan masuk ke Parlimen tetapi Polis tetap juga menangkapnya atas sifat dia sudah menjadi hakim untuk menjatuhkan Mustapha Ali sudah bersalah.

Ini memberi pengertian bahawa seorang Polis hendaklah sebelum memutuskan menangkap dan menahan seseorang, ia harus yakin terlebih dahulu bahawa orang itu bersalah kerana sudah melanggar satu undang-undang yang disabitkan dan sudah melakukannya, akhirnya beberapa orang ditangkap dan setengah dipasung atau di gari tangan tetapi kemudian dilepaskan. Apa makna integriti Polis?

Sekiranya dia tidak memegang prinsip yang tertulis dalam Kanun Acara jenayah ia itu “menahan atau menangkap”, “menyiasat atau memeriksa’ dan kemudian mendakwa untuk di adili di hadapan hakim dan dihukum, risiko kepada agensi kepada Polis bukan sedikit. Ada masanya sampai kehilangan nyawa, dan ada masanya rakyat terpaksa menanggung kos tuntutan awam kerana kesilapan Polis seperti kes penangkapan Malek Hussein. Soalnya ialah siapakah Polis yang menyebabkan rakyat membayar atas kesilapan, adakah dia sudah diambil tindakan tatatertib atau diturunkan pangkat, tetapi kebiasaan isu tidak diambil peduli oleh sesiapa pun.

Oleh itu Polis tentu tidak main-main bila melakukan penangkapan dan penahanan seseorang dan jika sebaliknya itulah yang berlaku di mana dimalukan oleh pendakwa raya dengan meminta hakim supaya pesalah yang merusuh dibebaskan walau pun sebahagian mereka boleh dikenali dengan gambar-gambar yang jelas nampak aksi mereka dalam video yang dirakamkan.

Dan jawapan Peguam Negara dalam alasan melepaskan mereka yang terlibat dalam rusuhan tersebut sama seperti dialog lawak Senario dalam TV3 bila menyebut mereka tidak menjadi pengikut Hindraf. Jika Peguam Negara pun sudah keliru apa lagi Polis yang rata-rata setakat berkelulusan SRP atau jika kelebihan kelulusan SPM bagi anggota konstabel, jika sudah Hindraf bukan satu pertubuhan berdaftar, maka bererti Hindraf satu pertubuhan haram kecuali atas nama satu syarikat yang berdaftar dengan SSM-Suruhanjaya Syarikat Malaysia, maka kenyataan Peguam Negara itu sudah mengesahkan kewujudan Hindraf.

Satu perkara yang jarang diguna pakai oleh Polis dalam isu rusuhan seperti Hindraf tersebut ialah kebijaksanaan memakai sepenuhnya 2 O ia itu otot dan otak. Otot diperlukan bagi menahan tindakan fizikal para perusuh yang radikal atau juga kepada para demonstrasi yang aman jika sudah melanggar SOP-Standard Operation Prosedure bagi perhimpunan aman dan keduanya menggunakan otak yang di dalamnya ada CPU yang bernama akal.

Jika menggunakan otot dan akal, bila penangkapan perusuh itu dibuat, sepatutnya mereka dibuat ujian air kencing bagi mengesan sama ada mereka terpengaruh dengan dadah atau alkohol. Kerana jika mereka dipengaruhi dadah dan juga alkohol dengan sendiri mereka boleh dilepaskan kerana tindakan mereka di dalam keadaan "tidak sedar" dan adakah ini dilakukan. Tetapi secara lawaknya sebenarnya peristiwa 25hb November itu bukan diperjuangkan oleh Hindraf tetapi para peminum Beer draf di mana ini adalah minuman biasa bagi orang India setelah Kedai Tuak ditutup secara perlahan-lahan dan tidak terasa oleh orang India, dan ini boleh dikira juga antara afidavit yang boleh digunakan untuk tuntutan kepada Britsh dalam kategori penghapusan etnik kerana kedai tuak diwujudkan oleh British.

Sang Kelembai: Pertanyaan awam sekarang oleh waris-waris Al-Maunah sama ada yang dihukum gantung atau dalam penjara boleh tak mereka dilepaskan jika ayat digunakan: "Kesemua individu itu menulis surat (kepada saya) mengutuk tindakan Al Maunah dan ketuanya dan mendakwa bahawa mereka bukan ahli Al-Maunah. Mereka juga berjanji untuk tidak menyertai mana-mana kumpulan di masa depan. Tindakan menarik balik pertuduhan itu (penderhakaan kepada Yang Di Pertuan Agong) juga adalah adil kerana pendakwaan tidak dapat mengenal pasti siapa yang memulakan niat penderhakaan itu."

1 comment:

no2umno said...

selamat hari Raya aidil adha kepada Tuan sekeluarga. Semoga dijauhkan dari sebarang masalah. Teruskan perjuangan dengan berita dan artikel yang sensasi. Salam

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia