Malaysia sebuah bumi yang bertuah dan di bentuk melalui zaman yang gemilang dari zaman purbakala membawalah ke era abad ke21. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia kena menerima hakikat bahawa budaya Hindu adalah yang terawal datang ke daerah yang dahulunya dikenali Nusantara. Dari sekolah rendah sudah diajar bagaimananya bermula satu kerajaan di Gangga Negara yang sekarang bernama Manjong yang meliputi Pangkor, Lumut dan Bruas.
Kedatangan kebudayaan Hindu juga dikesan di Kedah sehingga sejarah tidak berupaya untuk menolak hakikat bahawa di Lembah Bujang dan empayar budaya Hindu ini meliputi hingga ke Jawa. Sehingga sebelum faktor politik menukar persempadanan negara, Semenanjung Emas yang kemudian bertukar ke Semenanjung Tanah Melayu, berapa kawasannya adalah di bawah kawalan kerajaan Sriwijaya dan Majapahit.
Hari ini Kebudayaan Hindu bersemadi dalam sejarah. Muzium Negara yang terletak di Jalan Damansara (anehnya jalan itu tidak lagi menghala sudah ke Damansara seperti 30 tahun dulu, sebaliknya ke Jalan Traver dan ke Bangsar) dalam lukisan dindingnya jelas menunjukkan Lukisan budaya Hindu sebagai yang pertama berada di bumi Malaysia dan kemudian dituruti kapal tongkang China dan baru Islam.
Maka di Malaysia, setiap orang mestilah melihat kepentingan Malaysia dan bukan kepentingan apa-apa kaum. Bumi ini milik tuhan untuk manusia dan tidak ada ketentuan sempadan milik untuk sesiapa.. Cukuplah pengalaman membina negara ini dengan seribu liku dan bersama menerima hakikat "trial and error" sebagai pedoman.
Kepada orang-orang UMNO jangan terlalu “double standard”. Dalam usaha untuk mendapat sokongan sanggup melahirkan semangat perkauman sehingga seorang Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menjerit dalam Perhimpunan Agung UMNO dengan menyebut "Hidup Melayu". Walhal dia adalah pemimpin yang diangkat oleh berbagai kaum dan tiada sejarah Presiden UMNO menjerit slogan itu dalam Perhimpunan Agong UMNO. Apa akan terjadi kalau Presiden MCA, MIC dan parti etnik di Serawak dan Sabah juga menjerit dengan "Hidup China" "Hidup India","Hidup Kadazan" dan"Hidup Iban". Seribu tahun pun tak akan selesai soal perpaduan kaum.
Dalam beberapa isu yang melibatkan Peristiwa 13 Mei, nampaknya banyak orang UMNO tidak menerima hakikat itu bahawa kejadian "amuk" itu berlaku kerana politik sebaliknya menuding jari mengatakan kerana orang Cina bersikap biadab dan kurang ajar. Adalah malang bagi rakyat Malaysia berketurunan Cina sekiranya setiap kegagalan Melayu terletak di tangan mereka sehingga orang Melayu termasuk yang memakai lencana UMNO rasa tidak bersalah, bila bagi tanah jual kepada orang Cina, bagi kawasan balak kepada orang Cina, bagi kontrak jutaan RM bagi kepada orang China dan sehingga permit lori, bas dan teksi pun bagi kepada orang Cina.
Generasi ketiga dan ke empat yang berada di bandar, tidak pernah merasakan dan melihat bagaimana orang-orang Cina di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan termasuk Melaka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat kampung yang di dominan oleh orang Melayu, sehingga kadangkala apabila mereka bercakap dalam bahasa Melayu tempatan sukar dibezakan Melayu atau Cina jika sekadar mendengar sekiranya tidak melihatnya.
Di hadapan kita di Malaysia, kehidupan rakyat sekarang bergantung kepada meritokrasi. Semua orang mesti punya sikap positif untuk maju. Soal yang patut dikongsi bersama sekarang ialah ancaman keselamatan dari dalam dan luar negeri terutama kuasa asing. Dalam keadaan orang-orang UMNO terlalu meluap dengan isu perkauman dan tumpuan kepada orang Cina, yang mana sebenarnya itu hanya sikap hipokrit untuk mendapat sokongan, telah tibanya perhatian dibuat kepada tindakan-tindakan kerajaan UMNO terhadap Singapura.
Kenapakah orang-orang UMNO tidak bertanya, kenapa marah sangat orang Melayu dengan Singapura? Adakah ini kerana dahulunya Singapura itu milik orang Melayu dan jika begitu kenapa tidak marah dengan Kerajaan Kedah yang memberi Pulau Pinang kepada British dan selepas Malaysia merdeka, kekal sebagai kawasan negeri berasingan dengan Kedah. Apakah hanya kerana Pulai Pinang dalam Malaysia, sudah cukup untuk memberi kepuasan sedangkan Melayu Pulau Pinang juga tidak mendapat faedah daripada Pulau Pinang yang berada dalam Malaysia dan diperintah oleh Barisan Nasional.
Bukankah kemarahan orang UMNO atau Melayu itu kerana Singapura di dominasi oleh orang-orang Cina, dan kenapa orang-orang Melayu dari zaman Syed Jaafar Albar yang menentang Singapura dikeluarkan dari Malaysia berterusan sikap bermusuh memandang serong kepada Singapura?. Sebagai seorang Malaysia, sama ada dia Melayu, Cina atau India mestilah ada sikap waspada terhadap tindak tanduk Singapura.
Anehnya dalam keadaan orang-orang UMNO menghasut sikap perkauman dan menjadikan rakyat keturunan Cina atau India di Malaysia sebagai kambing hitam, dalam masa yang sama juga pemimpin UMNO memeluk pemimpin Singapura yang berketurunan Cina. Maka bingung Melayu yang cerdik sedikit dari Melayu UMNO itu, yang mana Cina di Malaysia dimaki hamun tetapi Cina di Singapura diberikan karpet merah dan makan durian.
Masalah Malaysia terhadap Singapura hanya mudah. Malaysia sudah tewas dalam satu peperangan yang bukan menggunakan senjata atau fizikal tetapi perang psikologi (Psychological War). Semenjak keluar dari Malaysia, Singapura menggunakan pendekatan itu dan kerana Malaysia sebuah negara Islam, Singapura menggunakan penasihat Israel(Yahudi) untuk melatih sistem pertahanan mereka dan oleh sebab Israel di bawah dukungan Amerika, dengan sendiri Malaysia terasa kecil. Itu sebab di zaman Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, beliau selalu tidak sekata dengan Amerika dan sekutunya yang bertujuan hendak memberi isyarat kepada kuasa besar itu, dari segi haknya Malaysia perlu bercakap perkara yang dirasakan tidak betul.
Hari ini di bawah pentadbiran Abdullah Hj Ahmad, Singapura diundang untuk melaksanakan Singapura 3 di Wilayah Pembangunan Iskandar setelah Singapura gagal projek Singapura 2 di Shanghai, PRC, yang mana khabarnya kerajaan China sudah menipu Singapura dalam Projek Singapura 2 tersebut. Hari ini Singapura 3 yang hendak diwujudkan adalah kesinambungan Singapura 3 yang terpaksa dihentikan di Thailand sebaik sahaja Thaksin digulingkan kerana Indonesia menolak total sebarang program mengujudkan Singapura di luar Singapura kerana dia hendak merancang pembangunan Pulau Bantam yang satu masa boleh menyaingi Singapura.
Sebenarnya orang-orang Cina di Singapura pun tak selesa diperintah oleh PAP dan kesemua orang Cina, seperti mana yang pernah dikatakan dahulu bahawa tidak ada negeri di dalam dunia sebenarnya dapat orang Cina merasakan diri sebagai manusia di muka bumi ini seperti yang dinikmati di Malaysia. Di negeri China yang diperintah oleh Komunis tidak sebebas mana di Malaysia, di Thailand, Filipina dan Indonesia, orang-orang Cina terpaksa menyerap dalam masyarakat Cina dengan menukar nama, bertukar agama untuk berpolitik. Di Singapura, tok pekong tak didirikan di beranda rumah pangsa, tak boleh beranak lebih dan tak ada kebebasan yang betul- betul bebas. Tetapi di Malaysia apa yang manusia boleh buat di muka bumi yang tidak bertentangan dengan kebudayaan dan adat resam, semuanya orang Cina boleh buat.
Singapura bersetuju untuk melaburkan wang di Wilayah Pembangun Iskandar setelah polisi penjualan pasir dari Indonesia diharamkan sama sekali kerana Indonesia melihat penjualan pasir itu sebagai ancaman keselamatannya tetapi Malaysia terus secara sembunyi membekalkan pasir dan serbuk kuari dan yang memberi kelulusan itu kuasa orang Melayu. Pembinaan Wilayah Pembangunan Iskandar bukan kawasan perumahan sebalik kawasan industri, maka kesemuanya kawasan Industri di Singapura akan bertukar menjadi kawasan perumahan tetapi rakyat boleh bekerja di WPI. Kesimpulan WPI sama taraf dengan tempat pembuangan pepejal di Bukit Tagar yang dibatalkan itu.
Sang Kelembai: Bila melihat gambar Abdullah Hj Ahmad dan Perdana Menteri Singapura memegang durian, maka marilah kita berfikir, siapakah yang akan berkata" Aku durian, kau mentimun”, ke kiri pun kena ke kanan pun kena dan akan ada orang yang menjawab, aku tunggu durian menjadi tempoyak. Soalnya sempat ke durian jadi tempoyak kerana kesemua durian dah habis di makan kerana kebiasaannya durian yang tak habis sahaja yang dibuat tempoyak.
2 comments:
Assalamualaikum-almaklum terdengarlah hikayat kisahnya orang Cina di Malaysia sudah tidak berminat lagi untuk melabur di dalam negara kerana katanya ada bahagian tertentu perlu dihidangkan untuk santapan yang punya kuasa.
Maka bertebaranlah mereka ke seluruh pelusuk dunia termasuklah ke dunia Arab Islam di Timur Tengah. Begitu berani dan gagahnya mereka semata mata untuk mendapat keuntungan yang tiada lagi di negara tanah air tempat kelahiran mereka.
Biarlah Temasek menguasai perniagaan di tanah air kelahiran mereka kerana mereka tidak bimbang dan gundah gulana kerana Temasek juga sebangsa dengan mereka. Lagipun Temasek syarikat yang gagah perkasa mampu mengenyangkan dan membahagiakan orang yang punya kuasa.
Terdengar juga alkisah Temasek ini berjaya mempengaruhi orang yang punya kuasa ini supaya menjual sebahagian kecil ekuiti syarikat tenaga kuasa eletrik di Malaysia setelah berjaya membeli saham Telekom. Walau bagaimanapun usaha untuk mendapatkan endormen bekas Mantan tidak berjaya kerana bekas Mantan tersebut tidak jadi berjumpa dengan mereka setelah mengetahui usaha untuk mendapatkan endorsmen penjualan tersebut dengan mengadu tidak sihat. Asal atucaranya untuk membincangkan perkara2 tertunggak tetapi lain pulak agendanya. Handal betul Temasek ni ... bagaikan telah memegang tengkuk orang yang punya kuasa.
Kita tengok dan lihatlah apa yang orang punya kuasa ini akan buat selepas ini asalkan dapat meneruskan kekuasaan di negara ini.
Orang yang punya kuasa ini sekarang amat tertekan kerana pembiaya kewangan luar negara hanya akan memberikan bantuan sekiranya mendapat endorsmen
bekas Mantan dan amatlah malang oleh kerana beliau telah tidak lagi menghormati bekas Mantan tersebut dan telah melupakan janji2nya, maka jauh sekalilah untuk mendapat endormen bekas Mantan tersebut.
Alkisah maka orang punya kuasa ini pun terpaksalah mendapatkan bantuan kewangan dari Temasek tetapi syaratnya amatlah besar iaitu perlu menggadaikan maruah dan kehormatan serta kekuatan orang Melayu termasuklah membenarkan penjualan saham ekuiti GLC. Proksi2 Temasek juga perlu dibenarkan menguasai perniagaan di Malaysia dan ini termasuklah beberapa orang yang menerajui ECM Libra.
Maka Temasek ibarat kecil tapak tangan kuali ditadahkan bagai orang mengantuk disorongkan bantal, bersegera menghulurkan bantuan TAPI imbuhan balik yang perlu diberikan amatlah besar.
Maka orang yang punya kuasa tersebut DEMI meneruskan kekuasaannya yang TIDAK PERNAH cemerlang, gemilang dan terbilang terpaksalah menurut kata DENGAN menggadaikan segala yang ada pada orang Melayu di tanah air tercinta ini. Begitulah keji perbuatan orang yang punya kuasa ini. Melupakan amanah yang telah diberikan untuk kepentingan dirinya sendiri termasuk keluarganya.
Selesailah sudah Hikayat Orang Yang Punya Kuasa semoga kita mendapat pengajaran darinya.
Wassalam.
kalau susah-susah sangat jual atau pajakkan sajalah WPI tu kepada Singapura. Lagipun segala2 nya pemimpin kita dah jual macam2n ke Singapura. Dari air, pasir, batu, buruh dan komoditi semua mereka dah jual. Setidak2nya BNM tak perlu lagi keluarkan BON untuk dapatkan wang menampung keperluan negara.Macamana cucu cicit Kiyai Salleh dengan isu ini.
Post a Comment