Thursday, January 31, 2008

Khir Toyo dan calon nya

Dewan Rakyat bukannya Parlimen seperti yang disebut oleh orang yang tak baca Perlembagaan Malaysia yang akan dibubarkan bila-bila dari sekarang bagi laluan untuk di adakan PRU- Pilihan raya Umum yang ke 12 dan seterus nya menyerahkan balik kepada rakyat untuk memilih satu Parti atau kumpulan orang yang boleh dipercayai mentadbirkan negara untuk jangka masa lima tahun ke hadapan.

Sudah banyak dikatakan oleh Pembesar Parti Politik, sama ada yang bernama UMNO dan rakan sekutunya dalam Barisan Nasional yang mengandungi 13 Parti lain atau juga Parti Pembangkang yang bergabung atas nama Barisan Alternatif dalam soal menentukan calon - calon yang bertanding. Dan jika di persetujui oleh Raja dan Yang Di Pertua Negeri, Dewan Undangan Negeri juga akan turut dibubarkan bagi tujuan yang sama.

Di peringkat Persidangan Dewan Rakyat, persidangan nampaknya kerap berlaku dan akan memakan masa yang panjang. Persidangan menjadi panjang kerana Dewan bersidang hanya 4 hari dalam seminggu dan tidak seperti mula-mula Dewan Rakyat diwujudkan, bukan sahaja Persidangan lima hari dalam seminggu tetapi waktu bermula Dewan mulai jam 9 pagi dan berakhir 5 petang tetapi sekarang bermula jam 10 pagi dan tamat jam 5 petang.

Sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat tidak diketahui orang atau pengundi bahawa banyak antara mereka yang tidak hadir di dalam Dewan semasa persidangan berlangsung terutama yang memegang jawatan sebagai anggota pentadbiran awam. Kalau BN berani dan telus, sila bentangkan secara terbuka jumlah hari Dewan bersidang dan jumlah kehadiran. Yang sudah pasti kehadiran yang paling sikit ialah “Saya Perdana Menteri” yang mungkin sampai kiraan 50 kali hadir pun susah hendak mencapai dalam lebih dari empat tahun Dewan sudah bersidang.

Dari itu apakah ukuran yang Abdullah Hj Ahmad untuk mengekal calon-calon untuk bertanding semula bila mana dia sendiri jarang hadir ke persidangan Dewan Rakyat dan jika hadir pun kerana hendak menjawab soalan dan jauh sekali untuk hadir dan mendengar pandangan sama ada cadangan atau kritikan dasar-dasarnya.

Jauh bezanya di zaman Tunku Abd Rahman dan Tun Razak Hussein yang boleh dikatakan akan hadir dalam persidangan Dewan Rakyat walau pun tidak memberi apa-apa jawapan soalan Dewan Rakyat, sebaliknya hadir untuk mendengar pandangan-pandangan ahli Dewan Rakyat, tidak kira Parti pemerintah atau pembangkang. Itu sebab kesemua soalan dapat ditangkis dengan mudah oleh Tunku Abd Rahman dan kerajaannya kerana kesemua Menteri yang berkenaan berada dalam persidangan Dewan semasa ahli Yang Berhormat membahaskan usul-usul. Di zaman Tun Dr Mahathir Mohamed pula walau pun dia tidak hadir di Persidangan Dewan Rakyat tetapi laluan rakaman secara langsung dipasang di Pejabatnya sama ada semasa di Jalan Dato Onn atau pun Perdana Putra.

Soalnya sekarang di zaman Abdullah Hj Ahmad, kemudahan yang ada di pejabat tidak ada sebarang kerosakan tetapi sengaja ditutup dari mendengar secara langsung perbahasan Dewan Rakyat, dan yang lebih kritikal ialah beliau jarang datang ke pejabat. Itu sebab dia tidak banyak tahu beberapa kali persidangan Dewan terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum dan yang tidak ada itu ialah ahli-ahli Yang Berhormat 2/3 Barisan Nasional.

Maka telah tiba masanya rakyat dan pengundi kena berfikir. Adakah wajar satu parti yang punya kuasa 2/3 di Dewan Rakyat boleh tidak cukup kuorum atau hanya cukup-cukup makan untuk menjalankan mesyuarat .Apa yang disibukkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat sehingga tidak boleh hadir dalam Persidangan? Kalau dia anggota pentadbiran awam yang bertaraf Menteri, boleh juga diterima akal kerana sibuk tetapi bagaimana yang bertaraf Timbalan Menteri dan khasnya Setiausaha Parlimen yang sewajar berada di persidangan Dewan Rakyat, itu pun banyak tidak hadir.

Jika ahli-ahli Yang Berhormat tidak hadir kerana mempunyai tugas yang berhubung kait dengan masalah rakyat, seperti bencana alam atau rumah setinggan yang hendak dirobohkan sewajarnya dipuji. Bagaimana pun kesemua tidak sibuk kerana tugas yang sedemikian sebaliknya sibuk menguruskan temu janji mencari perniagaan dan ada setengah wakil rakyat yang menghilangkan diri di persidangan Dewan Rakyat tetapi sibuk bermain golf.

Sudah tiba masanya rakyat dimaklumkan sebuah kenyataan bahawa memilih seorang wakil rakyat sama ada ke Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, sebenarnya memilih seorang yang bakal menjadi kaya raya. Bertambah pula dengan kenyataan Mohd Khir Toyo yang menyatakan bahawa calon-calon BN negeri Selangor adalah calon yang boleh menang, dan bukannya Parti BN akan menang melalui calon-calon nya, dua perkataan yang sama tapi lain pengertian jika dicermati.

Kenyataan itu memberi makna di Negeri Selangor, UMNO dan Barisan Nasional sudah ditolak rakyat dan jika kemenangan UMNO di Selangor bukan kerana partinya bernama UMNO atau Barisan Nasional tetapi kerana calon-calon itu diterima rakyat.

Kepada mereka yang digugurkan kelak dan jika membaca kenyataan Mohd Khir Toyo, maka calon-calon yang digugurkan termasuk dalam dua kategori, pertama, mungkin calon itu tidak boleh menang atau tidak laku lagi jika memakai jenama UMNO atau Barisan Nasional, kemungkinan dia seorang perasuah yang tidak di dakwa kerana jika di dakwa memalukan UMNO atau Barisan Nasional dan kedua kemungkinannya calon itu seorang yang pemalas atau tidak efisien semenjak menjadi wakil rakyat dalam tempoh empat tahun dahulu. Dan atas dua alasan ini mereka mungkin digugurkan. Ini memberi gambaran bahawa UMNO akan terus melihat calon-calon nya dalam konteks “trial and error” atau cuba dan salah.
Jika kali ini Mohd Khir Toyo mencuba meletakan calon yang bakal menang dan pada PRU yang akan datang tidak dicalonkan semula, maka ayat ini jugalah yang diguna pakai. Wakil-wakil Rakyat yang jarang berada di Persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negeri, malah terdapat di kalangan mereka yang tidak pernah membuat soalan atau berucap dalam isu-isu yang dibangkitkan dalam Dewan. Dan terdapat di kalangan mereka yang selalu menggunakan akbar atau media bagi menunjukkan keberadaannya dalam Dewan tetapi kemudian menghilang.

Sebenarnya jika wakil rakyat mempunyai kesedaran dan keinsafan dan disiplin kerja, Malaysia sudah tentu lama maju dan tidak lagi kais pagi makan pagi lagi tetapi mereka tidak peduli itu semua. Yang terpenting dia telah menjadi orang kesayangan pembesar parti yang berkuasa menentukannya.

Maka bila Mohd Khir Toyo bercakap berkobar-kobar untuk mencari calon yang boleh dimenangkan, maka mulalah orang bertanya, adakah berani Mohd Khir Toyo menyingkirkan Zakaria Mohd Derus yang punya trek rekod yang mencemaskan dalam isu semasanya. Begitu juga adakah berani dia menggugurkan Idrus Abu Bakar Ketua UMNO Bahagian di Hulu Selangor, yang sibuk dengan perniagaannya. Ini termasuk ahli-ahli Dewan Rakyatnya, adakah berani Mohd Khir Toyo menggugurkan nama ahli Parlimen Ampang? Selepas itu adakah dia mungkin menggugurkan nama Ahli Parlimen Kuala Langat dan Kuala Selangor?

Sang Kelembai: Ini pantun untuk Mohd Khir Toyo

Khir Toyo sibuk mencari dan menyusun calon,
Sampai ke hari ini tak dapat nama yang dicari
Apa nya susah, calonkan sahaja kroni di Lebar Daun
Kalau menjadi, sudah pasti tergadai negeri.

3 comments:

zainal abidin awang kechik said...

abang..

dalam ttahun 2008 ini adalah tulisan abang terbaik mengenai UMNO selangor..kerana abang layak untuk menceritakan UMNO selangor sebab ..Dato Harun yang mengajar abang erti sebuah perjuangan.

Umno selangor perlu malu kepada Melayu selangor..dengan sikap Nafsu si DR gigi ..yang gila untuk menjadi NAIB Presiden UMNO pada bulan ogos 2008..

calon calon umno selangor akan jadi LEMBU Khai toyo untuk 2008..

lingkup UMNO ni abang.

Anonymous said...

Khir Toyo sepatutnya tidak mencalonkan namanya serta barisan EXCO Negeri Selangor yang terkenal dengan amalan rasuah.Bak kata Sang Kelembai mereka ini terlepas dari sebarang dakwaan.Rakyat Selangor sudah sewajarnya memahami dan menunjukkan sikap tentangan menolak rasuah pemimpin negeri yang mengumpul harta kekayaan ratusan juta ringgit di luar negara dan sebagainya...jika mereka ini dicalonkan semula pastikan wang deposit mereka hilang.....

Anonymous said...

slogan khir toyo pembanggkang sifar, tp dia b'nsb baik dpt jd pembangkang. kalo ba sapu sume almarhumla khir toyo.

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia