Tuesday, April 17, 2007

Siri Ijok Yang Bergelora Bil 1.


Pilihan raya kecil datang lagi. Kali ini di Ijok, Selangor, setelah Batu Talam, Pahang dan Macap di Melaka. Jika di Batu Talam, Calon BN sepatutnya ditentang oleh PAS tetapi PAS mengambil keputusan tidak mahu bertanding dan sebaliknya menggunakan slogan "memulaukan" pilihan raya kecil itu. Bagi setengah pendapat, itu adalah sikap PAS yang tidak berani tetapi sebenarnya sikap "memboikot" pilihan raya kecil tersebut adalah manifestasi keberanian. Kenapa? Dengan PAS tidak bertanding di Batu Talam, menyebabkan BN tidak boleh mengukuhkan kekuatannya dan SPR terpaksa berhati-hati dengan amaran awal PAS tersebut kerana dikhuatiri dia akan terus memboikot PRU dan ini akan mencemarkan nama Malaysia di mata dunia sebagai pengamal demokrasi.

Berbeza pula dengan DAP, mereka terus bertanding di kawasan yang pernah mereka tandingi. Pertandingan bagi DAP bukan sahaja untuk menang tetapi juga untuk mengukur pengaruhnya terhadap pengundi bukan Melayu dan sama ada orang bukan Melayu khasnya keturunan China masih meletakan DAP sebagai penyambung lidah mereka dan membawa semboyan sosialis demokratik, satu perjuangan konsisten DAP dari mula dia ditubuhkan atau sebaliknya.

Sekarang giliran Parti Keadilan Rakyat dahulu Parti Keadilan Nasional - PRK mengambil keputusan sama ada hendak bertanding atau tidak di kawasan Ijok, Selangor. Berbeza dengan keputusan Barisan Alternatif- BA di Batu Talam, nampaknya PKR akan bertanding di Ijok.

Ini menimbulkan tanda tanya bagi sesetengah orang. Mereka akan mempersoalkan kenapa PKR mengambil keputusan yang berbeza dengan Batu Talam, di mana PKR menjadi penyokong kuat pemboikotan PAS itu dan kenapa awal-awal PAS memberikan sokongan bersyarat kepada calon PKR jika bertanding di Ijok dengan syaratnya ialah calon itu mestilah calon Islam/Melayu, jika lain dari itu, PAS hanya membantu dalam hati sahaja.

Pakatan Barisan Alternatif ini agak pelik sedikit jika dibandingkan dengan Barisan Nasional. Ini dapat di mana dilihat ketiga parti pembangkang ini masih lagi berpegang kepada prinsip, ideologi dan sikap perjuangan parti masing-masing. Jika Pas bertanding sudah pasti DAP tidak akan membantu kerana pada DAP perjuangan PAS untuk mengujudkan negara Islam bertentangan dengan pendirian DAP dan memberikan sokongan terbuka bererti secara lazimnya DAP sudah memberikan sokongan terhadap perjuangan PAS mendirikan negara Islam. DAP konsisten bukan sahaja tidak menyokong pendirian negara Islam tetapi menolak total bagi mengiktiraf Malaysia sebuah negara Islam dalam kerajaan Barisan Nasional. DAP tetap tidak menyokong PAS dan PAS tidak boleh merubah sikap ini hingga ke akhirnya hayat PAS. Dan yang tinggal boleh menyokong PAS ialah PKR.

Begitu juga jika DAP bertanding, PAS tidak boleh memberikan sokongan kepada DAP, kerana dua sebab, pertama, DAP sebuah parti yang menjadikan sosialis demokratik sebagai perjuangan politiknya. Sosialis apa pun, dalam konteks Islam mereka tidak diterima, walaupun terdapat dalam beberapa hadis beberapa indikasi ayat yang mirip kepada sosialis seperti "bayarlah gajinya(upah) sebelum peluhnya kering" Keduanya, walaupun DAP satu parti berasaskan pelbagai kaum tetapi kerana di dominan oleh orang-orang bukan Melayu khasnya keturunan China, mereka anggap parti perkauman dan cauvinis Cina dan jika PAS memberikan sokongan terbuka ini bertentangan dengan pegangan PAS dalam perjuangan dan terpenting perjuangan Nasionalisme Islam/Melayu. Akhirnya PKR juga parti yang boleh memberikan sokongan terbuka dan moral kepada DAP.

Pilihan raya kecil Ijok, satu yang amat menarik bagi pemerhati politik untuk melihatkan kerjasama yang agaknya kuat dan bersepadu, bila ketiga parti dalam BA dapat bekerjasama kerana calonnya dari PKR yang mana sebelum ini keduanya PAS dan DAP tidak dapat duduk semenjak dalam PRK. Tetapi masalahnya bagaimana mereka bekerjasama dengan keadaan mata memandang dalam keadaan yang berlainan. PAS dengan perjuangan berasaskan Fundamental Islam yang berdasarkan Al-Quran, Sunnah dan Hadis, DAP dengan perjuangan Sosialis Demokratik bagi menentang sistem kapitalis yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan PKR yang tidak diketahui asas perjuangan kerana dalam istilah politik "keadilan" bukan satu isme ideologi.

Bagaimana pun dengan ucapan dan tindakan PKR dalam beberapa siri ucapan politiknya PKR masih belum ada satu pegangan ideologi dalam perjuangannya. Ke mana agaknya mereka mahu membawa penyokongnya? Kapitalis mungkin, kerana sebahagian besar pendukungnya adalah bekas-bekas ahli UMNO dan ada yang menjadi pemimpinnya dan menjadi hulubalang mempertahankan sistem itu dan baru sekarang baru menyedari bahawa sistem itu tidak betul. Sosialis mungkin, kerana ada kemungkinannya PKR akan membentuk satu sikap Sosialis Liberal, setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia yang dahulunya Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip sosialis saintifik, dan jika ini pegangan politik PKR kemungkinan akan dapat membantu satu perjuangan yang menyusahkan BN dalam PRU yang mendatang.

Pendirian gabungan Barisan Alternatif itu, sama juga dengan Barisan Nasional yang di dominan oleh UMNO. Dari dulu, sekarang dan akan datang pegangan perjuangan UMNO di samping melaungkan nasionalisme Melayunya kekal dengan apa yang dikatakan oleh Tun Razak Hussein ia iatu ideologi "pragmatisme" atau juga boleh dipanggil "kesesuaian" yang berubah dalam perjuangan semasa. Semangat kesesuaian itulah menyebabkan UMNO boleh bertahan dan hari ini menjadi pendukung dasar kapitalis menentang sosialis yang mengancam kedudukan pemimpinnya tetapi esok ia boleh menjadi sosialis, jika sistem itu boleh memberikan keuntungan kepadanya. Itu sebab Tun Razak Hussein membuat keputusan untuk berbaik dengan PRC-People Republic China yang total komunis di tahun 1974.

Dalam komponen BN sendiri pun, MCA memberikan sokongan kepada UMNO kerana dasar UMNO menguntungkan pedagang-pedagang Cina, MIC yang pada awalnya menyokong UMNO kerana dasar UMNO untuk memastikan kebajikan para pekerja dan buruh India dijamin kebajikan dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia-PGRM yang pada awalnya sebuah parti memperjuangkan sosialis dan keadilan untuk kaum buruh keturunan Cina dan rakyat marhaen Cina sehingga hari ini kekal dengan pendirian politik itu walau pun dalam keadaan tertentu dia lebih kapitalis dari UMNO. Oleh kerana itulah Melayu Pulau Pinang merasakan dia terpinggir tetapi tidak kepada orang-orang Cina kerana untuk beberapa tahun PGRM memerintah Pulau Pinang perubahan ketara telah dilakukan kepada penduduk keturunan Cina seperti perumahan, pendidikan dan kebudayaan.

Pilihan raya kecil Ijok menguji kekuatan BA dan juga Pilihan raya Umum-PRU tahun-tahun mendatang. Jika melihat calon yang akan bertanding nanti seorang tokoh korporat Melayu, ia tentu satu tentangan yang bukan mudah oleh BN untuk menang . Dengan keadaan UMNO dan MIC bermasalah besar di kawasan itu, calon PKR akan memberikan cabaran sengit . PRK Macap telah membuktikan bagaimana pun kuat cara berkempen BN dengan pertolongan beberapa ketumbukan soldadu politik luar Macap dan Melaka, DAP dapat menurunkan undi majoriti BN.

UMNO sungguhpun bertindak sebagai penentu undi, menyokong calon BN dari MIC tidak akan dapat membantu secara sepenuh hati kerana terdapat beberapa UMNO Cawangan tidak dapat dikawal oleh UMNO Bahagian Kuala Selangor. Ini adalah kerana ahli-ahli UMNO itu, macam satu tajuk program di TV Inforia dahulu "luka lama masih berdarah". Mereka masih luka akan perbuatan Mohd Khir Toyo kerana campur tangan pemilihan Ketua UMNO Bahagian yang mengalahkan Daud Tarahep dan kemudian Ketua UMNO Bahagian sekarang yang tidak pernah memanggil ahli parlimen itu hadir dalam mesyuarat UMNO Bahagian walau pun Perlembagaan UMNO menghendaki berbuat demikian : ia itu meminta ahli parlimen BN hadir dalam mana-mana mesyuarat jawatankuasa bahagian.

Dan bertambah keliru lagi bila Menteri Besar mengarahkan secara rasmi dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri Selangor, supaya pejabat kerajaan, agensi dan termasuk ketua kampung supaya tidak mengundang Ahli Parlimen Kuala Selangor dalam apa-apa program dalam kawasan Pilihan raya nya walau dia Ahli Parlimen Barisan Nasional. Akhirnya sikap politik ini memberi akibat dengan pertolongan tuhan. Setelah tiga tahun tidak pernah dipanggil oleh Menteri Besar, barulah khabarnya dalam sehari dua ini Menteri Besar memanggil Ahli Parlimen itu dan menaiki kereta pusing-pusing dalam DUN Ijok bagi menunjukkan bahawa tidak ada apa-apa masalahnya tetapi sebenarnya macam-macam masalah. Tunggu penulisan Siri Ijok Bergelora Bil 2

Sang Kelembai: Khabarnya orang di Ijok marah sangat dengan pengambil pasir di beberapa batang sungai dalam Adun itu. Dan yang terlibat adalah saudara mara Menteri Besar, betul atau tidak akan semua tuduhan, pergilah kutip sebaran kertas-kertas terbang di sana. Orang-orang di Kuala Lumpur dan berhampiran buatlah Cuti-cuti Malaysia ke Ijok, melancung sambil berhibur. Banyak cerita di sana.

4 comments:

Anonymous said...

Tuan,

Tulisan yang menggambarkan keadaan di Ijok. Daud Tarehep mempunyai ramai penyokong dan BN menang N11 lebih kerana nya calon BN Parlimen.

Anda perasan sekarang jalan raya kampong sedang diturap dan TOL tanah akan diberi. Penduduk menunggu calon melayu diletak atas tiket PKR. Harap-harap menjadi lah kali ini.

Ramai yang komen selama ini apabila seseorang meminta surat sokongan dari ADUN terdahulu, jawapannya ialah "saya menang bukan kerana undi melayu".

MIC sentiasa menang dari dulu lagi, tunggu peluang nak ubah cuaca.

Anonymous said...

Ijok tanpa pekan terpaksa menumpang Batang Berjuntai yang julung julung kalinya akan mengalami keadaan tegang!

UMNO dan MIC sedia punyai masalah tetapi ahli ahli kedua dua parti ini akan berhadapan dengan durian runtuh. Buat seketika salah faham boleh aleh jadi sudah faham.

Bagi PKR pula jika Anwar tak banyak masuk campur mungkin peluang akan bertambah sedikit. Duit oh duit yang akan mempengarohi corak pengundian itu sahaja!

Anonymous said...

Dalam Malaysia Today ada komen mengatakan yang Ketua MIC yang resigned tu akan masuk semula selepas dapat RM100,000.00 sedangkan penduduk Melayu yang berjumlah 10,000 tu akan dapat RM300.00 seorang dan BN akan terus berjaya. Murahnya bangsa Melayu.

Saya masih ingat lagi satu peristiwa, seorang Polis bangsa Melayu tahan sebuah lori dipandu oleh seorang bangsa Cina, si pemandu tu melemparkan wang syiling 50sen kepada polis tu dan terus berlalu. Polis tu ambil wang syiling dan tersenyum gembira (cerita 80'an). Saya tengok sendiri.

Bila teringatkan kisah ni saya rasa sangat malu tapi bila ingat-ingat balik, eh..aku ni bukan melayu, sikit pun takde

Anonymous said...

SANG RAJUNA TAPA berkata " bagaimana dahulu si Parthiban penjawat awam(berijazah tentulah kumpulan profesional)memegang jawatan politik S.U MIC Bhg.Tg.Karang- walhal melanggar GENERAL ORDER Bab D-20(1-f)- poraaah ini tidak tahu disiplin dan peraturan JPAkah?"
JANA KHATIB pula berkata" Wahai anak-anak buahku di IJOK baca,rujuk,fahami betul-betul Surah An-Nisa ayat 144,selamat mengundi"
HANG NADIM berkata" Hamba masih terngiang-ngiang lagu Kombo BTN Anak Kecil Main Api"

PUTERI DANG WANGI mencelah "Hamba semua berkobar-kobar menyanyi BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT.


Ha Ha Ha Ha Anda semua bagaimana wahai rakan taulan sahaya, saudara-mara dan para penghuni IJOK. IJOK OH IJOK anda semua cerdik. Percayalah.

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia