Monday, September 03, 2007

Terima Kasih Great Britain, Jepun dan PKM.

Dalam kita meraikan Hari Kebangsaan atau Hari Nasional dan sempena Jubli Emas Kemerdekaan Tanah Air kita bersama yang dahulunya bernama Semenanjung Emas, Tanah Melayu, Malaya, Persekutuan Tanah Melayu dan hari ini Malaysia, di samping kita bersyukur kepada Tuhan, kerana dilahirkan di sini dengan limpah kurnia rezeki alam yang melimpah ruah dan kemudian khabarnya kita sudah merdeka, jangan lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang pernah berjasa kepada negara ini, walau pun dia bernama Portugis, Belanda, British atau juga yang bernama PEKEMAM- Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya dan PKM - Parti Komunis Malaya.

Kedatangan Penjajah dari Barat khasnya British telah banyak membantu kita (rakyat Malaysia) mematangkan tamadun manusia yang tinggal dan menduduki tempat di planet bumi yang bernama Malaysia. Walau apa sekali pun pandangan buruk kita kepada British dalam keburukan British menjajah kita banyak juga kebaikan yang dilakukan kepada tanah airnya ini.

Kita beruntung dijajah oleh British yang datang dari barat, jika dibandingkan kepada negara-negara lain yang dijajah oleh Perancis, Sepanyol, Portugis dan Belanda dirantau timur jauh ini.

Tidak ada siapa yang hendak mempersoalkan titah ucapan Sultan Hj Ahmad Shah, Pahang di UIA yang mengatakan bahawa negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah oleh Inggeris menjelang 50 tahun Hari Nasional. Pada mereka yang berakal, sudah pasti memahami maksud Sultan Pahang itu, bahawa janganlah dibesarkan sangat isu Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris kerana 50 tahun akan datang bila meraikan 100 tahun Malaysia... generasi akan datang akan mengetawakan kita kerana menganggap Sejarah pun pada generasi 50 tahun pertama pun hendak dipolitikkan.

Malaysia khasnya beberapa negeri Melayu bernaung seperti Johor memang sebuah negeri Merdeka dan total diperintah oleh Kerajaan Monarki yang bernama Maharaja yang mungkin mengikut format wilayah Kerajaan Beraja di India, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu memang diberi oleh British. Jika tidak kerana Jepun kalah Perang dunia kedua, kemungkinan keempat negeri berada tersebut kekal sebahagian negeri Siam kerana di zaman Jepun menguasai Tanah Melayu pada dasarnya negeri tersebut sudah diserahkan kepada Siam oleh Jepun.

Tinggal empat negeri Melayu bersekutu, Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dan yang kesemua negeri ini menerima Residen Inggeris sebagai penasihat dan dua negeri lagi kekal sebagai tanah jajahan Inggeris iaitu Penang atau Pulau Pinang yang dipajak dari Sultan Kedah sepanjang ada matahari dan bulan dan tidak seperti Hong Kong yang dipajak hanya 99 tahun. Melaka memanglah sudah menjadi sebuah negeri jajahan British setelah bertukar dengan Bangkulin. Singapura memang punya status yang mana Johor sudah tidak ada apa kepentingan kerana sudah dijual oleh Tengku Hussein, sebuah negeri yang asalnya milik Syarikat Hindia Timor dan kemudian bertukar menjadi tanah jajahan Inggeris.

Dalam negeri Melayu bersekutulah British memulakan dengan memberi nasihat dan menggerakkan ekonomi dan pentadbiran yang kukuh secara ala British. Dengan memulakan prasarana pengangkutan, seperti Jalan Raya, Kereta Api dan Pelabuhan di abad ke19, dengan tiba-tiba Malaysia telah menjadi satu wilayah penting hubungan timur dan barat.

Keikhlasan British dalam timbal balas meraih atau menelan ekonomi Malaysia, British dengan segera membina sistem pendidikan di Tanah Melayu dengan pembinaan beberapa sekolah, di Pahang dengan Clifford di Negeri Sembilan dengan King George, di Selangor dengan Queen Victoria dan Anderson di Perak di samping tanah jajahannya Penang dengan Penang Free School dan Sekolah Tinggi di Melaka.

Dan terakhirnya membina Malay College di Kuala Kangsar, dan Maktab Perguruan Sultan Idris sebagai pelengkap untuk memajukan Tanah Melayu yang akan satu masa dipikul oleh orang Melayu sendiri.

Akhirnya dengan kewujudan beberapa sekolah dan institusi pendidikan tersebut maka berjayalah Malaysia diserahkan secara autonomi oleh British kepada rakyat tempatan bagi mentadbirnya dan setelah itu British telah merancang secara tipu helah untuk menyatukan negeri-negeri Tanah Melayu, dengan pendekatan Malayan Union yang telah ditolak di Durbar Seri Menanti di penghujung tahun 1930an, British telah menggunakan isu tersebut sehingga membawa wujudnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Tidakkah kita semua terfikir dalam kesibukan kita semua memperkatakan Malayan Union, kita tidak pernah bertanya kenapa British berdiam diri dengan sikap orang-orang Melayu yang berkumpul dan berdemonstrasi menentang Malayan Union, kenapa British tidak menggunakan kuasanya untuk menyerang penunjuk perasaan sebaliknya seperti membenarkan ia berlaku. Itu sebab golongan tua berkata lebih baik kita berada di zaman British, sekurang-kurang British membenarkan semua orang tunjuk perasaan sama ada secara berkumpulan dan melibatkan semua parti politik, kesatuan sekerja dan petani tetapi hari ini ada masanya macam bukan sebuah negara yang Merdeka.

Kerana British-lah yang melahirkan anak bangsa khasnya orang Melayu boleh membaca dan menulis dari sekolah yang dibina dan dibiayai oleh pentadbiran British maka lahirlah pejuang-pejuang kemerdekaan. Cuba perhatikan pejuang kemerdekaan dari UMNO, kesemuanya berasal dari pendidikan yang diadakan oleh Inggeris dan ada setengah yang ditaja oleh British belajar di London sendiri.

Begitu juga Jepun yang menyerang Malaya, pada asalnya dianggap sebagai negara yang akan membebaskan imperialis barat di kawasan Asia Timur tetapi sebaliknya menjadi imperialis yang lebih zalim dari barat. Penaklukan Jepun atas Malaya menyebabkan landskap politik Malaya telah berubah keseluruhannya dan sehingga British datang semula dengan membawa gagasan Malaya Union.

Betapa pun orang Melayu bangga kerana berjaya menolak gagasan Malayan Union tetapi Malayan Union - lah formula yang akhirnya melahirkan Persekutuan Tanah Melayu dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam satu kerajaan Persekutuan yang kuat seperti mana yang di cita-cita kan oleh British.

Antara alasan yang kukuh dan juga disiarkan beberapa kali oleh RTM adalah perundingan Tunku dengan British yang membawa kejayaan kemerdekaan iaitu “argument” Tunku kepada British bahawa selagi Malaya tidak dimerdekakan segera, selagi itu Parti Komunis Malaya akan memberontak secara bersenjata dan mendapat sokongan rakyat kerana PKM ada alasan yang kukuh bagi meneruskan perjuangan.

Ini memberi pengertian bahawa Tunku Abd. Rahman telah menggunakan pemberontakan komunis atau lebih tepat dipanggil "perang saudara" di Malaya kerana perkataan "perang saudara" sesuai digunakan kerana PKM disertai oleh berbagai kaum kerana khasnya Selangor telah pernah menghadapi pemberontakan menentang Kerajaan Negeri Selangor sama ada di bawah Sultan atau Imperialis British yang dipanggil Perang Saudara. Maka bagi menamatkan perang saudara itu ialah dengan memberi kemerdekaan.

Kenyataannya bahawa PKM-Parti Komunis Malaya yang menggunakan pemberontakan bersenjata (istilah pemberontakan pernah digunakan tetapi sekarang sudah dilupuskan) sebenarnya bukan sahaja telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya tetapi antara sebab mengujudkan gabungan Parti Perikatan, kerana kelompok Cina kapitalis amat bimbang jika tidak menyertai UMNO kemungkinan senario kedudukan mereka akan berubah kerana secara kebetulan PKM dipelopori oleh orang Cina dan memanglah diakui bahawa kegiatannya dibiayai oleh orang-orang China, seperti mana keluarga Kuok Brother yang mana hari ini Robert Kuok adalah salah seorang penasihat WPI-Wilayah Pembangunan Iskandar, di mana terdapat seorang keluarganya menyertai komunis hanya semata-mata untuk menjaga kepentingan ladang-ladangnya tidak diganggu PKM. bagaimana pun dia telah ditembak mati oleh askar British di Kluang, Johore.

Sang Kelembai: Bila melihat program TV kisah 50 tahun Merdeka, ini sebenarnya meraikan 50 Tahun Malaya dalam satu Kerajaan Persekutuan yang kuat, beberapa fakta diketepikan dan yang ketawanya ialah “backdrop” di Dataran Merdeka hanya memaparkan gambar-gambar era Mahathir Mohamad tetapi tidak ada satu gambar kejayaan era Abdullah Hj Ahmad kecuali kincir Funfair di Tasek Titiwangsaa, yang menggambarkan dalam zamannya,orang Melayu hanya suka berhibur.

5 comments:

Rockybru said...

lain daripada yang lain artikel kemerdekaan tuan ini. menarik. saya rasa tak ramai yang mendalami sejarah seperti tuan dan dalam tak ramai ni, hanya segelintir yang nekad ucapkan "terima kasih" kepada britain, jepang dan pkm.

tentang kuok, saya jua ada terbaca dalam buku tun dr ismail - the reluctant politician, bagaimana seorang adik lelaki robert terpaksa lari ke hutan untuk menyelamatkan diri dan kemudiannya ditembak mati.

terima kasih.

Anonymous said...

sudah tentu aku sangat terpaku dengan pandangan ini. Terima kasih.

A Voice said...

Kita tidak boleh mudah sekali memaafkan dan meneriam bukat2 kata2 begitu ...

British membawa kemajuan tetapi orang melayu sengaja di pinggir dari pusat2 bandar dan pekan. Dimana org melayu maju, mereka akan bina bandar lain utk bersaing dan akhirnya tutup dan hancur bandar2 itu. Sila baca sejarah Jugra, KL dll.

RO Winstedt apabila datang ke Malaya mempersoalkan kenapa di beri orang Melayu pelajaran sampai ke darjah 4 .... bukan tingkatan 4 .... bukan tahun 4 ye.

Walhal orang2 cina diadakan sekolah Anglo Chinese School, dan banyaklah manafaat yg mereka dapat dari sekolah2 muballigh kristian di bandar2.

MCKK di bina setelah 100 thun sekolah2 muballigh dan org2 cina mendapat pendidikan aliran inggeris. Itu pun MCKK di bina utnuk orang2 berada dari golongan bangsawan kerana bila di pegang org2 bangsawan, org2 melayu boleh di pegang.

Itu baru bab pendidikkan saja.

Anonymous said...

analisis yang baik...sayang tidak dapat menulis di akhbar....

Anonymous said...

Sepatutnya kisah yang terpapar ini dibaca oleh setiap orang yang tahu membaca. Sayangnya budaya membaca di kalangan orang-orang kita terlalu tipis. Sebilangan besarnya leka dengan berhibur, apa lagi hiburan berlambak-lambak dan alat komunikasi juga padat dengan hiburan. Lihat saja saluran tv di penuhi oleh iklan manakala radio pula padat dengan rancangan hiburan tidak seperti sebelumnya ada drama sekalipun amat singkat dan kecil jumlahnya tetapi terselit mesej tertentu.

Kerajaan Tiga Beranak
Imam Besar Mahzab Islam Hadhari
Solidariti bersama bloggers Malaysia